Dalam konteks klinikal, haiwan peliharaan telah digunakan secara meluas untuk menangani kepelbagaian jenis gangguan dan penyakit, terutama berkaitan dengan psikologi. Ini melibatkan penggunaan haiwan sebagai satu kaedah terapi individu atau berkumpulan. Kaedah ini didapati berkesan untuk mengurangkan kesakitan, kebimbangan, kemurungan dan keletihan dalam kalangan pesakit. Malah, kesannya bukan sahaja terbatas terhadap pesakit, ahli keluarga serta mereka di sekeliling pesakit turut menerima kesan positif dengan kehadiran haiwan peliharaan itu.

Bukan sahaja dalam konteks perubatan, terapi haiwan peliharaan juga digunakan dalam konteks bukan perubatan untuk membantu individu menangani kebimbangan dan tekanan. Kajian-kajian saintifik menunjukkan bahawa haiwan peliharaan dapat merangsang kesedaran dan interaksi dan mencetuskan emosi positif seperti keseronokan. Dalam satu kajian melibatkan pesakit warga emas yang dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan menjadi seorang yang pemarah dan menyisihkan diri daripada orang lain. Dengan memperkenalkan haiwan peliharaan kepadanya, penyelidik melihat perubahan dalam diri pesakit sebagai dirinya sebelum ditimpa penyakit. Daripada menjadi pemarah dan sering tertekan, pesakit berubah menjadi seorang yang tenang dan gembira. Satu kajian lain menunjukan bahawa individu yang menerima terapi haiwan peliharaan melaporkan tahap interaksi dan fungsi psikososial yang lebih baik, melihat kehidupan dengan tahap kepuasan yang tinggi, mempunyai kecekapan dalam menangani keperluan hubungan sosial dan kesejahteraan emosi, dan melaporkan tahap kemurungan yang rendah.

Kesan haiwan terhadap kesihatan emosi

Ada penyelidik yang berpendapat bahawa haiwan peliharaan membentuk satu hubungan bukan lisan yang meyakinkan dan tidak mengancam, selesa dan berasaskan sentuhan yang boleh membantu individu untuk menangani kesan dan penyebab kepada kesunyian. Malah, persekitaran sosial yang positif adalah penting untuk mengelakkan diri daripada gangguan emosi ini dan haiwan peliharaan mampu memberikannya.

Antara kesan positif lain hasil perhubungan antara individu dan haiwan peliharaan termasuklah hubungan persahabatan yang menjadi medium untuk aktiviti-aktiviti menyeronokkan seperti menjadi peneman semasa bersenam seperti membawa haiwan berjalan, mencetuskan rasa bertanggungjawab untuk menjaga haiwan peliharaan dengan baik, dan membentuk persekitaran yang bebas daripada konflik sosial. Ia juga membantu meningkatkan kestabilan emosi, hasil dari hubungan dua hala yang terbentuk atas aspek kepercayaan. Ini jelas daripada tindak balas haiwan terhadap individu yang mereka tidak kenali berbanding dengan individu yang dikenali.

Kesan positif hubungan dengan haiwan peliharaan melangkaui aspek psikologi. Malah, terapi haiwan turut memberi kesan positif terhadap aspek fizikal seperti penurunan tekanan darah, degup jantung dan aspek fisiologi lain yang berkaitan dengan perasaan tenang dan diketahui berkaitan dengan tahap kesihatan fizikal individu yang baik.

Kepentingan sokongan sosial sering ditekankan dalam menangani pelbagai gangguan psikologi dan dalam aspek kesunyian, ia merupakan kunci untuk menangani emosi ini. Selain hubungan sesama manusia, haiwan peliharaan dapat mengisi kekosongan dalam keperluan sosial individu. Ada kajian yang menunjukkan bahawa individu yang mempunyai haiwan peliharaan melaporkan tahap kesunyian lebih rendah berbanding individu tidak mempunyai haiwan peliharaan.

Kesan positif terapi haiwan peliharaan terhadap kesihatan fizikal, pengurangan risiko penyakit berkaitan jantung, pengurangan tekanan darah dan kesejahteraan umum telah berulang kali dibuktikan melalui kajian-kajian saintifik. Selain itu, kesannya terhadap aspek kesihatan sosial juga adalah jelas. Walaupun sesetengah golongan mendapat kesan yang lebih besar, seperti pesakit, mereka yang tinggal bersendirian, orang kurang upaya dan lain-lain golongan yang mempunyai risiko gangguan psikologi , semua golongan dapat memanafaatkan hubungan yang terbentuk antara individu dan haiwan peliharaan.

Oleh yang demikian, bagi golongan kebanyakan, haiwan peliharaan bolehlah dipertimbangkan sebagai satu kaedah untuk menangani tekanan perasaan dan emosi negatif seperti kesunyian.